latest articles

JDT Beri Duit Kemenangan Pada Mangsa Banjir P.Pinang



Foto sumber laman Facebook Johor Southern Tiger



KELAB bola sepak dan pemenang Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan memberikan duit hadiah kemenangan kejohanan tersebut kepada mangsa banjir Pulau Pinang.
Perkara tersebut diumumkan oleh Presiden JDT, Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim melalui laman Facebook Johor Southern Tigers.

"Menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Johor, antara polisi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah untuk memberi bantuan dan sumbangan kepada yang memerlukan sepertimana sebelum ini kepada mangsa bencana banjir di Pahang dan Kelantan serta mangsa bencana gempa bumi di Sabah.

"Banyak bantuan yang telah kami berikan kepada kerajaan negeri dan JDT akan terus melakukan perkara yang sama. Kelab JDT dan para pemain telah membuat keputusan untuk memberi duit kemenangan Piala Malaysia yang kami menangi kepada mangsa bencana banjir di Pulau Pinang," kata kenyataan di laman JST.

Pengumuman tersebut yang dibuat sejam lalu nyata menarik sorakan peminat bola sepak tanah air di Facebook, termasuk dari Pulau Pinang.

"#MassiveRespect dari peminat di Pulau Pinang," kata Aidi.
"Terima kasih banyak-banyak kepada keluarga kerabat, dan doakan Pulau Pinang," kata Eric.
Sumber:  Sinar Harian
Read more

Biodata Dr.Muhammed Abdul Khalid : Pakar Ekonomi Berjiwa Rakyat

dr muhammed abdul khalid promosi buku
Nama Dr.Muhammed Abdul Khalid tiba-tiba meniti di bibir ramai warga Malaysia selepas pandangan beliau dalam sebuah rancangan wawancara yang disiarkan di TV3 pada hujung Oktober lalu.

Dengan loghat utara yang pekat, Dr.Muhammed Abdul Khalid menjawab soalan pertama panel dengan penerangan yang cukup mudah, sesuatu yang menjadi identiti beliau sekian lama. Walaupun bergelar seorang akademik yang mempunyai pengetahuan tinggi, kelebihan Dr.Muhammed Abdul Khalid yang dikagumi adalah keupayaan beliau menafsirkan sesuatu dalam cara yang mudah difahami tanpa memerlukan penggunaan perkataan bersifat 'mumbo-jumbo' yang kerap mengangkiti ramai cendekiawan di negara kita.

dr muhammed abdul khalid angkat jari power
Ramai pasti mengenali beliau sebagai penulis dan penyelidik kepada buku 'The Colours of Inequality : Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia.' Buku tersebut secara konsisten terletak dalam senarai buku terlaris penjual-penjual buku dan kandungan buku tersebut ditulis sama seperti bagaimana Dr.Muhammed Abdul Khalid menerangkan tentang sesuatu perkara.

Anak kelahiran Pulau Pinang, Dr.Muhammed Abdul Khalid adalah seorang ahli ekonomi Melayu yang boleh dikatakan muda. Belajar di Universiti of Southern California dalam jurusan kewangan, beliau melanjutkan pengajian peirngkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang ekonomi.

Selepas itu, beliau menambah koleksi kelulusan sarjana beliau dengan melanjutkan pengajian di Paris Institute of Political Studies dalam bidang Hubungan Awam sebelum bergelar Doktor Falsafah melalui Institusi yang sama pada tahun 2010.

dr muhammed abdul khalid kelihatan tenang 

Kajian beliau sejak dulu dapat disimpulkan dalam 3 isu besar yang menyebabkan ketidak seimbangan ekonomi di Malaysia.

Yang pertama, berlakunya diskriminasi kaum terhadap graduan bangsa Melayu walaupun graduan Melayu itu mempunyai kadar kelayakan yang sama dengan graduan bangsa lain. Diskriminasi yang berlaku datang dalam bentuk peluang mendapatkan pekerjaan, kadar gaji serta layanan di tempat kerja dan ini menyukarkan graduan Melayu mengumpulkan aset.

Kedua, perbezaan jurang di antara harta warisan atau harta pusaka yang diterima, cukup berbeza di antara bangsa ke bangsa di Malaysia. Kajian beliau membuktikan segelintir ibu bapa kaum Cina mempunyai keupayaan meninggalkan aset yang jauh lebih besar nilainya berbanding ibu bapa kaum lain, yang membolehkan individu berbangsa Cina mempunyai kelebihan dalam persaingan ekonomi.

Yang terakhir dan kerap kali menjadi kritikan beliau, adalah kegagalan pihak pemegang amanah berbangsa Melayu, yang tidak mengendahkan status sosioekonomi bangsa Melayu baik dari segi politik mahupun pengurusan kerajaan. Menurut kajian beliau, pemimpin-pemimpin politik berbangsa Melayu terlalu cenderung untuk menghabiskan masa dengan berpolitik berbanding membantu meningkatkan lagi taraf ekonomi orang Melayu.

dr muhammed abdul khalid menuding jari
Berpengalaman luas dalam bidang ekonomi, Dr. Muhammed Abdul Khalid mempunyai kemahiran berbahasa Inggeris dan Perancis dengan lancar. Kini beliau berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ahli Ekonomi kepada DM Analytics, sebuah badan yang bertanggungjawab mengkaji realiti sebenar kesan dasar ekonomi pada golongan peringkat bawahan. Turut bersama beliau adalah dua orang lagi ahli ekonomi terkenal Malaysia, Tan Sri Professor Kamal Salih dan Dr. Muhammad Ikmal Mohd. Said.

Pengalaman yang beliau perolehi juga bukan calang-calang. Beliau pernah berkhidmat sebagai Juruanalisis bersama Institut of Strategic and International Studies (ISIS) kemudian berhijrah ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai Pengarah Ekonomi. Kejayaan beliau di situ membolehkan beliau dipancing oleh Khazanah Research Institute sebagai Pengarah Penyelidikan sebelum mengasaskan DM Analytics ketika ini.

Dr. Muhammed Abdul Khalid banyak memberikan ceramah dan pandangan yang membuatkan banyak pihak tidak senang duduk, bukan sekadar pihak pemerintah, malahan kepada kumpulan individu dan peniaga yang kerap mengambil kesempatan ke atas ketidak seimbangan ekonomi ini.

Bagi mereka yang berminat untuk mendalami pandangan Dr. Muhammed Abdul Khalid dengan lebih halus, selain daripada buku karangan beliau, anda juga boleh memuat turun dua tesis beliau yang bertajuk 'Discrimination of high degrees: race and graduate hiring in Malaysia' yang telah diterbitkan dalam Journal of Asia Pacific Economic pada tahun 2016 dan 'Household wealth in Malaysia: Composition and inequality among ethnic groups' yang terbit dalam Jurnal Ekonomi Malaysia pada tahun 2011. Kami kongsikan pautan di bawah.

Untuk yang berminat membaca lebih lanjut selepas khatam buku 'The Colours of Inequality : Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia', kami mencadangkan kepada anda untuk mencari buku 'Income Inequality and Poverty in Malaysia' karya Shireen Mardziah Hashim yang membawakan isu sama yang diperjuangkan Dr. Muhammed Abdul Khalid dalam bentuk lebih berat.

Read more